Ulasan Buku
(bingkisan dari Yogyakarta, Mei 2009)
Judul : The Secret
Pengarang : Rhonda Byrne
Penerbit : PT Gramedia Pustaka Utama
Tahun : 2007
PENDAHULUAN
Buku ini membongkar rahsia kejayaan individu. Pembaca akan dibentangkan kekuatan tersembunyi yang belum pernah digunakan oleh manusia melainkan segelintir individu yang telah berjaya dalam bidang masing-masing.
Pelbagai contoh kejayaan individu yang telah menggunakan rahsia ini dalam pelbagai lapangan dikongsi oleh penulis dengan pembaca. Buku setebal 237 halaman ini membongkar satu rahsia besar. Rahsia yang dimaksudkan ialah “Hukum Tari-Menarik”. Segala sesuatu yang datang ke dalam hidup kita ditarik oleh kita sendiri ke dalam hidup kita. Segala sesuatu itu tertarik oleh gambaran-gambaran yang kita simpan dalam dalam fikiran atau minda kita. Apa yang ada dalam minda/fikiran kita akan kita tarik ke dalam diri kita.
Menurut penulis, diri kita yang ada sekarang adalah cerminan daripada fikiran kita pada masa lalu. Menurut hukum ini, jika kita melihat sesuatu dalam minda kita, kita akan menggenggamnya.
“Kita hari esok adalah apa yang kita fikirkan dan gambarkan diri kita hari ini”.
FIKIR POSITIF
Satu-satunya sebab mengapa seseorang tak dapat apa yang diinginkan adalah kerana mereka lebih memikirkan apa yang mereka tidak inginkan berbanding apa yang mereka inginkan. Menurut hukum ini, seseorang tidak boleh memikirkan apa yang dia tidak ingini. Sebaliknya fikirkan apa yang dia inginkan sahaja. Sebagai contoh, seorang pelajar yang lemah Matematik, tidak boleh memikirkan gagal atau akibat kegagalan Matematik yang akan diterimanya. Dengan banyak memfokus kepada “gagal”, dia akan menarik kegagalan dalam dirinya. Sebaliknya, fikirkan cemerlang dalam Matematik.
KAWAL PERASAAN
Perasaan tidak terjadi dengan sendiri melainkan apa yang kita fikirkan. Seseorang yang sedang bercinta atau memikirkan soal cinta akan menarik perasaan-perasaan lain yang sama frekuensinya dengan cinta ke dalam diri seperti kasih, sayang, rindu, memahami, bertanggungjawab, memaafkan, prihatin dan pelbagai perasaan positif lain. Akhirnya dirinya akan dirimbuni oleh perasaan-perasaan positif yang akan memacu dirinya.
Begitu juga jika kita berfikiran sebaliknya.
Lantaran itu kita perlu mengawal dan memeriksa perasaan kita. Jika suatu ketika anda berasa tertekan, takut, bimbang, geram, marah, dendam dan sebagainya, ini bererti anda sedang berfikiran negatif. Tukarlah segera fikiran anda dengan memikirkan perkara-perkara yang baik atau positif (ubah frekuensi). Tenangkan diri anda seketika. Fokuslah terhadap sesuatu yang baik yang kita inginkan.
MUHASABAH DIRI
Sedar atau pun tidak, segala suatu apa yang kita fikirkan, itulah apa yang kita inginkan dalam hidup. Oleh itu, perlu melakukan muhasabah atau membuat refleksi terhadap peristiwa-peristiwa yang telah berlaku sepanjang hari. Jika tidak sama seperti apa yang kita inginkan, ubahlah segera.
KEKUATAN SYUKUR DAN REDA
Seseorang perlu sentiasa bersyukur dan reda atas apa yang dimilikinya sekarang. Tidak bersyukur dan tidak reda bererti tidak berpuas hati. Perasaan ini akan menarik lebih banyak perasaan negatif lain ke dalam dirinya. Ini menyebabkan perkara baik dan positif menjauhkan diri daripadanya.
FOKUS
Apa yang kita inginkan dalam kehidupan ini, atau dalam tempoh tertentu. Fokuskan segera. Beritahu diri anda apa yang anda fikirkan. Tetapkan target atau matlamat anda. Jangan ragu-ragu. Anda mesti yakin bahawa anda bisa mendapatnya. Dalam hukum tarik menarik kita tidak perlu memikirkan cara untuk mencapainya.
PENUTUP
Buku ini sesuai dibaca oleh sesiapa sahaja yang inginkan kejayaan dalam hidup.
-dibentangkan pada 19/4/2010 di perhimpunan rasmi sekolah semasa pelancaran minggu bhs 2010.